20 November 2009

Terima slip 5A depan jenazah ibu

Kisah di petik dari akhbar Harian Metro pada 21.11.2009 untuk renungan bersama.......
Betapa kegigihan seorang insan ini dan bagaimana anak ini akan meneruskan hidupnya yang yatim piatu.... pernah kah anda terbayang kesedihan yang akan dilalui anak ini? Bagaimanakah perasaan dan jiwanya? Semuga Allah memberikan perlindungan, hidayah dan rahmat kepada 2 beradik ini...... dan bersyukurlah diatas apa yang telah Allah berikan kepada kita selama ini......
SEREMBAN: Tidak seperti murid tahun enam lain yang kegirangan ketika menerima keputusan cemerlang 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Siti Amynur Ain Putri Rosdy, kesedihan menerima keputusan itu di hadapan jenazah ibunya.Apabila keputusan UPSR diumumkan di pejabat Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior kelmarin, Siti Amynur Ain Putri berada di surau rumah rakyat Taman Dusun Nyior untuk membantu kaum keluarga yang lain menguruskan jenazah ibunya, Rusmah Abdullah, 47, yang meninggal dunia akibat tekanan darah rendah pada tengah malam Rabu, selepas terlantar di wad hospital selama dua minggu.Berderai air mata Siti Amynur Ain Putri dan kaum keluarga yang lain apabila guru besar sekolah itu, Noreha Adam menyampaikan keputusan ke tangan pelajar itu sendiri di hadapan tubuh kaku ibunya beberapa minit sebelum solat jenazah dimulakan pada jam 11.30 pagi semalam.“Saya sedih sangat, ibu tidak dapat melihat keputusan ini. Ibu selalu berpesan ketika hidup bahawa saya ini harapan dia, ayah pula sudah meninggal dunia empat tahun lalu,” kata Siti Amynur Ain Putri dengan linangan air mata.

Pelajar itu kini hidup yatim piatu bersama abangnya yang berusia 14 tahun.
Selepas ayahnya meninggal dunia akibat sakit tibi, ibu Siti Amynur Ain Putri bekerja sebagai pencuci di sebuah hotel bajet rendah di Seremban dengan pendapatan RM500 sebulan.Pada April lalu, ibunya terpaksa berhenti kerja apabila pelajar itu mengalami kemalangan sehingga patah kaki dan keluarga itu terpaksa hidup dengan bantuan kewangan RM400 sebulan.Setiap hari selepas berhenti kerja, ibunya akan berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk menghantar nasi bungkus kepada Siti Amynur Ain Putri kerana pelajar itu tidak balik rumah untuk menunggu kelas bimbingan UPSR.Guru besar Sekolah Kebangsaan Taman Dusun Nyior, yang terkejut ketika dimaklumkan ibu Siti Amynur Ain Putri meninggal dunia, berkata: “Siti adalah ketua murid di sekolah kami. Kami tahu dia akan mendapat keputusan cemerlang. Pagi-pagi saya sudah ke Pejabat Pelajaran Daerah untuk mengambil keputusan (UPSR) seawal mungkin. “Saya nekad untuk mendapat keputusan cepat dan sampaikan sendiri ke tangan Siti sebelum jenazah ibunya dikebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said,” katanya.Beliau dengan ditemani seorang guru hampir sahaja terlewat dan Noreha tidak putus-putus berdoa supaya Siti Amynur Ain Putri menerima berita baik di sebalik ujian berat yang menimpa pelajar itu.Ketika menyampaikan keputusan itu ke tangan murid tahun enam itu, Noreha berkata suasana sangat hiba dan puluhan orang termasuk ahli surau terdiam tetapi beliau mengumpul semangat untuk memberitahu kepada murid itu: “Ibu tentu tahu Siti mendapat keputusan cemerlang.”Noreha, yang berpengalaman dalam bidang perguruan selama 24 tahun, kini berusaha membantu Siti Amynur Ain Putri mendapat tempat di sekolah berasrama penuh. “Siti tabah orangnya, kami tidak tahu pun ibunya dimasukkan ke wad,” katanya.-Bernama

19 November 2009

UPSR 2009

Keputusan UPSR 2009 telah diumumkan pada 19.11.2009, bagi cicit-cicit Massupi seramai 3 orang yang terlibat telah menduduki peperiksaan ini. Natasha Binti Hanafi @Nicholas Barry, mendapat 3A2B, Mohd Azri Bin Ismail mendapat 3A2B dan Mohd Syahmi Bin Haji Kasim mendapat 1A4B. Kepada mereka ini diucapkan tahniah kerana di atas kejayaan cemerlang mereka dan ini merupakan titik mula bagi mereka untuk pergi lebih jauh lagi. Ucapan tahniah kepada Azri kerana beliau turut mendapat 'Mumtaz' untuk keputusan PSRA baru-baru ini. Semuga dengan keputusan ini membolehkan beliau untuk mendapat tempat di mana-man Sekolah Menengah Agama yang diiktiraf. Insa Allah.....

13 November 2009

Renung-Renungkan la.... (Satu pengajaran dari email yang saya diterima)


SUATU PERJALANAN
"Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak ditimpa hujan." Teringat pesan ayah di suatu petang."Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati," ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahun bersama arwah Mak.Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya.. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.
SILAP ISTERI
Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud : Wahai kaum wanita, aku lihat kamu ini lebih banyak di neraka". Seorang wanita lalu bangun bertanya, 'Apakah yang menyebabkan yang demikian? Adakah sebab kami ini kufur?' Rasulullah SAW menjawab, 'Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu kedalam neraka:
1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah 2. Kamu kufurkan kebaikan suami.' Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.

YANG LEBIH, YANG KURANG
" Awak beruntung ye, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa, " luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata." Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap, " jawab saya supaya dia buka mata." Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana . Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia." pujuk saya lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali ' memandang tinggi ' kehadiran seorang suami.
ENGKAU TERBAIK UNTUKKU
" Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi." Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan. Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi.Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, " Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini." Ingat, kehidupan didunia adalah sementara dan jikalau kita dijodohkan, maka harus untuk mencari kebaikan dari apa jua kesalahan.Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. Saling berpesan-pesan kpd kebaikan..

29 October 2009

Hajjah Aliah Binti Haji Abdul Munir - Puteri ke 6

Hajjah Aliah bersama suami, Haji Basri, anak-anak dan cucu...
ketika perjumpaan Massupi 2001

Hajjah Aliah meneriama dari Massupi

Puteri ke 6 pasangan Haji Abdul Munir dan Hajjah Suppiah ini dilahirkan pada tanggal 26.4.1941 di Kanchong Darat, Banting. Hajjah Aliah Binti Haji Abdul Munir atau lebih senonim dengan panggilan 'Lil' dikalangan saudara, teman juga jiran. Beliau telah bernikahkan dengan Haji Basri Bin Badot yang merupakan seorang guru waktu itu. Pasangan ini telah dikurniakan seramai 5 orang cahaya mata. Yang pertama Norabeah, Mohd Norfarizat, Umi Nazrah, Mohd Nazrul dan Mohd Nazreen. 3 dari anak beliau telah berumah-tangga dan beliau telah dikurniakan seramai 9 orang cucu. Manakala anak bongsu mereka telah pun mengikat tali pertunangan dengan gadis berdarah kerabat dari Negeri Pahang Darul Makmur.

Mengimbas kembali bagaimana pasangan ini dijodohkan, mempunyai cerita yang menarik. Haji Basri yang pada masa mudanya membayar makan dengan kakak sulung Aliah atau mesra dengan nama panggilan Kak Nong, telah terpaut dengan keayuan Aliah semasa mudanya dan menyatakan hasrat hatinya untuk menyunting Aliah sebagai teman hidupnya..... begitulah cerita permulaanya....

Merupakan seorang wanita yang serba-serbi berkebolehan, beliau sebenarnya merupakan isteri pertama kepada Haji Basri yang berpoligami. Sebagai isteri Hajjah Aliah begitu tabah dengan ketentuan Illahi untuknya. Untuk membantu ekonomi keluarga beliau turut menjalankan perniagaan hardware di Kampung Sri Cheeding. Dan merupakan satu-satunya kedai yang menjual peralatan hardware di kampung. Menetap di Taman Sri, Teluk Datok, Banting bersama anak sulungnya, Norabeah dan keluarga juga Umi Nazrah, puteri beliau yang ke 3 yang masih belum berumahtangga. Beliau yang masih sihat tubuh badan merupakan wanita yang aktif dengan kerja-kerja persatuan dan kebajikan ditempat beliau tinggal. Beliau sering kelihatan dimana-mana majlis keluarga diadakan akan sentiasa cuba hadir sekiranya dimaklumkan. Beliau yang begitu mengambil berat tentang hubungan kekeluargaan amat disenangi oleh saudara tua juga anak-anak saudara. Merupakan seorang yang bersikap terbuka dan berterus-terang dalam banyak perkara. Kehadirannya sentiasa menjadikan sessi masak memasak acara Massupi lebih meriah dan ceria kerana beliau juga pandai memasak dan tidak lokek dengan petua dan ilmu. Setiap kehadirannya pasti dengan buah tangan masakan atau kuih hasil tangannya sendiri untuk dinikmati oleh tuan rumah atau kami yang hadir.........

27 October 2009

Permohonan ke Sekolah Menengah Teknik



Permohonan untuk ke Sekolah Menengah Teknik telah pun di buka sehingga 4.1.2010. Kepada yang berminat sila lah masuk ke laman web Kementerian Pelajaran Malaysia atau http://www.moe.gov.my/. Memandangkan sekiranya lewat memohon kemungkinan akan ada kesesakan talian dan kesukaran untuk menembusi talian, maka disarankan supaya memohon awal dan buat pengemaskinian selepas keputusan PMR keluar pada penghujung bulan Disember 2009 nanti. Kepada 3 cucu Massupi (Hani Hazirah Binti Haminudin, Nurul Asyiqin Binti Ismail dan Helmi Ariff Berry Bin Hanafi ) yang berhajat untuk melanjutkan pelajaran mereka ke Sekolah Menengah Teknik pada 2010 telah pun membuat permohonan 'online' dan kita doakan semuga permohonan mereka bertiga akan berjaya dan mendapat tempat sepertimana yang diinginkan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Insaallah.....

Untuk menjadikan pilihan yang dibuat itu meyakinkan, kami telah pun pergi melawat sekolah tersebut pada 1.11.2009. Melihat kawasan dan kedudukan sekolah yang boleh dikatakan selesa, cantik dan menarik. Diharapkan dapat menimbulkan perasaan keinginan melanjutkan pelajaran di sana kepada Hani, Shikin dan Helmi nanti. Kita doakan mereka ini akan berjaya untuk mendapatkan tempat disana demi masa depan mereka yang lebih cemerlang....

22 October 2009

Puteri Sulung Massupi - Hajjah Noriah Binti Haji Abdul Munir

Gambar kenangan yg tersimpan lama, arwahyarham Hajjah Noriah (Kiri) semasa mudanya bersama arwah Cik Som yang akrab dengannya sehingga mereka diusia emas mereka begitu baik

Arwah Hajjah Noriah bergambar bersama cucu 'Ainil Hazimah' semasa lawatan beliau ke Ipoh menziarahi anak perempuannya Rohana...

Gambar kenangan Arwahyarhamah Hajjah Noriah dan Arwah Haji Salim pasangan yang setia sehingga akhir hayatnya....

Dilahirkan pada 27.03.1925, Noriah Binti Haji Abdul Munir merupakan puteri sulung dari 8 adik beradik dari hasil perkongsian Haji Abdul Munir dan Hajjah Supiah. Perkongsian ini melahirkan 5 orang anak lelaki dan 3 orang anak perempuan. Selepas kelahiran Noriah berikutnya lahirlah putera kedua, Haji Jamjuri, Hajjah Saiyah, Haji Khailani, Haji Sujai, Hajjah Aliah, Haji Kasim dan Ismail. Dalam usia yang masih muda arwah mak telah dinikahkan oleh kedua orang tuanya dengan arwah bapa ku Salim Bin Awi. Arwah bapa adalah calun pilihan orang tua untuk arwah mak ketika itu. Kalau diimbas kembali apa yang diceritakan oleh kedua-dua mereka ini, memangnya mereka tidak pernah mengenali diantara satu dengan lain dan sememangnya tiada perasaan cinta ketika itu. Arwah emak sememangnya bukan anak yang berpendidikan akademik, tapi dalam soal ugama dia tidak ketinggalan, malah dia sememangnya mendapat didikan yang baik. Berbanding dengan arwah bapa yang mendapat kedua-dua pendidikan akademik dan ugama. Walaupun begitu mak punya banyak kemahiran rumah tangga dan kerjatangan. Berkat didikan dari Ibunya (Nenek Supi) sendiri banyak membantu dalam mengurus rumahtangga dengan baik. Selain itu arwah pandai dan rajin memasak dengan berbagai hidangan menjadi kegemaran keluarga.

Hajjah Noriah dan Haji Salim telah dikurniakan seramai 6 orang anak (4 lelaki dan 2 perempuan) anak pertama pasangan ini, Abdul Hadi, Rohana, Zakaria, Azahari (telah pulang kerahmatullah dalam usia 30 tahun), Sunaina dan Ahmad (telah dijemput Illahi sedari semasa dalam kandungan lagi). Kesemua anak-anak arwah telah pun berumahtangga dan arwah telah dikurniakan seramai 13 orang cucu dan 3 orang cicit. Perit jerih pasangan ini dalam membesarkan anak-anak telah menjadikan anak-anak berjaya didalam hidup masing-masing dan ianya amat membanggakan arwah.

Kalau diimbas bagaimana arwah Nenek Supi dengan displin, amalan dan nasihat, maka arwah mak (Noriah) tidak jauh bezanya. Dia yang begitu mengambil berat soal solat kami dia tidak akan segan silu untuk mengejutkan kami untuk bangun solat subuh biarpun kala itu anak-anaknya sudah berumahtangga. Baginya jangan sampai subuh tu tertinggal.... dan pantangnya kalau bangun selepas matahari terbit!! masaklah kami kena bebelnya...... (Dikatalah nanti selimut kami tu ditukar ke kulit Babi.... bayangkan mana la kita tak melompat bangun?) Pantun nenek 'Buah durian magga emas, siapa kendian dia kemas' menjadi pusaka baginya.... Raut wajahnya tak jauh beza, cerewetnya pun tak lari kemana... itulah Emak.... Teringat bila dia berdandan... wajah yang sememangnya cantik dan manis tak perlu gincu dibibir kerana bibirnya dah sedia merah, cukup dengan bedak dan celak dia sudah cukup menarik.... teringat bila dia berbedak pangkal leher dan telinga pun akan dibedak bagi serata katanya..... aku selalu mencuri lihat bila dia berdandan.... ternyata dia memang cantik!!

Dalam usianya 82 pada tarikh 10.4.2007 ketika azan subuh berkumandang dimasjid ketika itu arwah telah dijemput menemui penciptanya disamping anak-anak dan saudara-maranya di hospital Daerah Banting. Jenazah telah disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Sri Cheeding disisi arwah bapa, suaminya tercinta, adiknya Haji Khailani dan iparnya Hajjah Hasliah. Semuga roh arwahyarham di tempatkan disamping hamba-hambanya yang soleha dan beriman..... Amin......

17 October 2009

Nenda Tersayang


Masih ingatkah lagi ahli-ahli Massupi dengan wajah di atas. Kepada ahli Massupi yang baru, inilah dia wajah idola kita Allahyarhamah Hajjah Supiah Binti Haji Yusof, nenda kita. Telah lama kami simpan gambar ini setelah ianya diperbaiki daripada kekotoran oleh saudara Johan Bokhari, barulah dapat saya menguploadkan gambar ini untuk kenangan kita bersama. Menatap wajah ini terkenang saya kepada nenda tercinta yang begitu rajin and particular tentang tatasusila. Saya amat bertuah kerana dapat membesar disamping nenda tercinta kerana banyak tatacara hidup dan pekerti melayu yang diserap ke dalam kehidupan harian saya paling tidak lupa tunjuk ajar agama yang diberi. Nenda banyak membantu saya belajar sembahyang semasa saya kecil. Ingat lagi saya dengan rutin hariannya yang begitu teratur. Dipesannya kepada kami supaya bangun tidur sebelum subuh dan seawalnya membuka tingkap supaya rezeki mudah masuk. Selepas sebahyang subuh ingat lagi pesannya sebelum ke sekolah cium tangan ibu dan ayah untuk mendapat restunya supaya berkat ilmu dikumpul. Ingat lagi pantunnya selepas makan "Buah durian, pulau emas, siapa kendian, dia kemas". Ingat lagi larangannya ketika makan jangan disulam dengan air, jangan goyangkan kaki ketika makan. Ingat lagi saya akan bau bunga tanjung dan melur yang disisir disanggulnya setiap kali selepas mandi menjadi signature bauannya. Tapi sayang, kini hanya tinggal kenangan. Kepada pembaca mari sama-sama kita sedekah Al-Fatihah kepada Arwahyarhammah semuga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan digolongan hamba-hambanya yang mukmin dan soleha, Amin....